Monday, May 26, 2008

Mudarat merokok


Merokok membahayakan kesihatan. Walaupun amaran sedemikian bukan lagi baru bagi golongan perokok, mungkin huraian maklumat ini boleh menjelaskannya.

RAMAI perokok menyedari keburukan daripada tabiat mereka tetapi tidak berbuat apa-apa untuk berhenti.

ADAKAH masih ramai perokok yang menyangkal kebenaran betapa tabiat mereka itu mendatangkan kemudaratan pada mereka satu hari nanti? Atau ada yang berkata; 'Saya merokok secara sosial sahaja' atau 'oh, memang saya merokok tetapi saya sering bersenam'. Mungkin itu antara alasan mereka yang masih ego.

Dalam sedar, golongan ini sebenarnya cuba menafikan tentang 'resipi' tembakau yang sebenarnya penuh dengan kandungan yang menjejas kesihatan dan menyebabkan ketagihan. Sedangkan sudah banyak bukti saintifik menunjukkan bahawa tabiat merokok mengganggu kualiti hidup sepanjang hayat.

Juga bukan janggal apabila ia dikaitkan dengan kematian dan gangguan keupayaan sistem dan fungsi tubuh.

"Sama ada seseorang itu merokok secara sosial atau tidak, dia tetap dikategorikan di bawah Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (IDC). Maka jelas, merokok adalah suatu ketagihan, dan ketagihan adalah penyakit," kata Ketua Jabatan Pengamal Farmasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Profesor Madya Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamed.

Lanjutan daripada ketagihan itu, tabiat merokok meningkatkan risiko barah yang pelbagai, terutamanya kanser paru-paru. Lebih dikhuatiri adalah risiko penyakit jantung, strok, emfisema (udara dalam tisu) dan beberapa lagi penyakit. Ada sesetengahnya menjadi titik awal ancaman kematian bagi perokok tersebut.

Malang bagi golongan wanita, mereka berhadapan dengan beberapa lagi risiko kesihatan. Sebagai contoh, merokok ketika hamil memberi masalah kepada si ibu dan kepada anak yang dikandung. Malah, kesan buruk itu boleh kekal pada anak itu sesudah ia dilahirkan.

Tabiat buruk itu juga menggandakan kemungkinan wanita tersebut mengalami keguguran spontan, menjejas membran dan plasenta, serta kelahiran pramatang.

Lebih menyedihkan, terdapat banyak masalah seperti ini dilaporkan hanya kerana si ibu itu menjadi perokok pasif. Bukan kerana dirinya tidak ambil peduli tentang bahaya rokok, sebaliknya si suami atau orang di sekelilingnya tidak memberi ruang nafas yang bersih dan selamat untuknya.

Timbalan Pengarah Kesihatan di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Sallehudin Abu Bakar, pula menyampaikan rasa bimbangnya terhadap generasi muda masa kini yang semakin mudah tertarik pada tabiat ini.

"Ramai golongan muda (yang masih di bangku sekolah) sudah tahu merokok dan secara purata menghisap kira-kira lima batang rokok sehari. Bilangan dan kekerapan itu semakin berkembang mengikut tempoh masa tertentu. Bagi mengatasi keadaan ini, hanya program pendidikan dan kesedaran boleh dilakukan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Dalam sebuah statistik terkini, Sallehudin menjelaskan bahawa daripada jumlah pesakit yang mengalami gangguan kesihatan akibat tabiat merokok di negara ini, sebanyak 25 peratus daripada mereka menghidap barah paru-paru, 25 peratus menghidap penyakit jantung koronari, strok (20 peratus), COPD (15 peratus) dan selebihnya penyakit-penyakit lain.

Walaupun sudah jelas perangkaan itu menunjukkan ancaman, namun kes kematian yang mempunyai kaitan dengan tabiat merokok tidak pernah susut dan ia melibatkan kos rawatan yang tinggi.

"Percayalah, masih ada banyak jalan dan kaedah untuk berhenti. Di negara ini, banyak pihak boleh dirujuk untuk tujuan tersebut. Seseorang perokok perlu menanam tekad yang sebenar-benarnya demi masa depan diri dan keluarga mereka," kata Sallehudin optimis.

KEMPEN iklan yang mengesyorkan merokok sebagai gaya hidup adalah antara punca generasi baru perokok semakin bertambah.

Melihat senario yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini, mungkin kita boleh berfikir sendiri. Yang manakah perlu dipergiatkan - mengumpulkan lebih ramai perokok dewasa yang nekad untuk berhenti, ataupun meneruskan usaha mengekang tabiat merokok di peringkat awal usia?

0 Comments: