Tuesday, June 17, 2008

skipping - baik/buruk

BAIK BURUK

INGIN tahu kebaikan aktiviti lompat tali dan keburukan menggelapkan kulit dengan berjemur? Ikuti ruangan baik buruk pada minggu ini.

JOM LOMPAT TALI
BACA dulu sebelum berkata apa-apa. Aktiviti melompat tali (skipping) sebenarnya bukan permainan yang eksklusif untuk kanak-kanak perempuan. Peninju profesional malah jaguh dunia juga pasti bersetuju bahawa rutin ini menawarkan gaya senaman lengkap kardiovaskular.
Ia mampu meningkatkan upaya ketangkasan fizikal dan penampilan tubuh kerana rutinnya yang menuntut stamina, kemahiran dan koordinasi tangan dan mata.

Selain melatih keanjalan dan ketahanan tubuh, pada masa yang sama ia membantu aspek keseimbangan, serta memperbaiki kekuatan otot dan tulang. Latihan yang berterusan membolehkan seseorang memahami tindak balas diri terhadap detik waktu dan ritma tertentu.
Senaman ini bukan sahaja mudah dijalankan. Ia menjadi pilihan mereka yang mementingkan kesihatan kerana ia boleh dilakukan di mana-mana, tidak memerlukan perkakasan yang berat dan banyak, murah serta menyeronokkan. Sebanyak 1,000 kalori boleh dibakar hanya dengan melompat tali selama sejam.

MASIH MENGGELAP KULIT?
TOLONG terima hakikat ini – proses menggelapkan kulit di pantai bukan lagi trend yang boleh mengujakan pihak yang memerhatikan anda. Malah semakin ramai di kalangan mereka yang melihat anda pulang dari pulau peranginan hebat dengan warna kulit ‘keemasan’ (atau kemerahan) sebenarnya bersimpati pada anda.
Kesan terkumpul daripada aktiviti berjemur boleh meningkatkan risiko kerosakan sel. Lantaran itu juga, pendedahan kepada sinar matahari yang panjang seolah-olah ‘menjamin’ proses kedutan awal usia, kerastosis aktinik, dan barah kulit termasuk yang serius seperti melanoma.

Kulit gelap bukan semestinya suatu yang boleh dibanggakan. Ia sebenarnya kesan kecederaan epidermis akibat terdedah kepada sinar ultra ungu matahari. Maka, dalam apa tujuan sekalipun untuk berada di luar rumah, gunakan krim pelindung dengan SPF 15 atau lebih. Bagi kulit yang cerah dan mudah lelas, gunakan produk dengan SPF 30 atau lebih.

0 Comments: