Tuesday, June 17, 2008

Kelebihan diet Mediterranean

DI Dataran Santa Ana yang popular di Madrid, para pelancong tidak puas menjamah pinggan demi pinggan keju Manchego yang matang, hirisan daging sejuk dan sotong goreng.

Tetapi apa yang ditawarkan - disaji dengan roti baguette putih - tidak menyelerakan untuk golongan vegetarian atau sesiapa sahaja yang mencari lima hidangan harian buah-buahan dan sayuran yang disyorkan oleh pakar pemakanan demi kehidupan yang sihat.
"Saya sukakan makanan di sini tetapi ia bukanlah hidangan harian anda. Jika anda memesan sayuran di restoran, hidangan itu digoreng.

"Malah, jika anda memesan salad tomato, anda akan dapati tujuh jenis tomato yang disalut minyak!," ujar Susie Goodall, konsultan imigrasi British yang berusia 28 tahun sambil menikmati segelas wain merah di salah sebuah bar di dataran tersebut.
Sungguhpun demikian, kerajaan Sepanyol berkata, apa yang digambarkan sebagai diet Mediterranean adalah sangat bagus, sihat dan bersejarah sehingga ia seharusnya dipromosikan ke seluruh dunia.

Ia mengetuai bidaan - disertai oleh Itali, Greece dan Maghribi - untuk meyakinkan Pertubuhan Bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk meletakkan diet Mediterranean dalam senarai warisan dunia.

"Sepanyol menyahut inisiatif tersebut dan berkeyakinan bahawa sifat-sifat pada kulinari Sepanyol adalah seiring dengan kecemerlangan yang menjadikannya patut menerima penghormatan UNESCO ini," kata Kementerian Pertanian Sepanyol dalam satu kenyataan.

Sekiranya Sepanyol berjaya, diet Mediterranean itu mungkin akan menyertai senarai warisan dunia yang tidak ternilai, seperti Festival Kematian di Mexico dan Royal Ballet Kemboja.

Ia juga akan menyediakan satu lagi cara pemasaran yang lebih menguntungkan terhadap produk keluaran Sepanyol seperti minyak zaitun, ham dan wain.

Mentafsirkan diet Mediterranean, ialah seperti jamuan yang berubah. Apabila chef British, Rick Stein mengembara melalui beberapa buah negara Mediterranean untuk sebuah siri televisyen, beliau merasa kesemua hidangan daripada kebab di tenggara Turki sehinggalah tagine dan couscous di Maghribi, dan ikan kod masin di Sepanyol.
Kumpulan pemikir dan penasihat makanan yang berpangkalan di Boston, Oldways mempromosikan diet Mediterrnean yang katanya standard emas untuk corak pemakanan yang menggalakkan kesihatan baik sepanjang hidup.

Sungguhpun demikian, diet yang disyorkannya adalah berdasarkan tradisi pemakanan di Crete, Greece dan selatan Itali kira-kira sekitar tahun 1960-an ketika kadar penyakit kronik adalah antara yang terendah di dunia, dan jangka hidup golongan dewasa adalah antara yang tertinggi, sungguhpun perkhidmatan perubatan adalah terhad."

Oldways dan organisasi lain yang mempromosikan diet Mediterranean yang biasanya didefinisikan sebagai lemak tidak tepu seperti minyak zaitun berbanding mentega dan marjerin, kekacang, sayur-sayuran dan bijirin tidak diproses, ikan, produk tenusu yang sederhana, dan bilangan rendah daging dan gula.

Walaupun demikian, di Sepanyol, daging disajikan dengan banyak. Pada waktu makan tengah hari, papan hitam yang diletakkan di luar bar dan restoran-restoran di seluruh negara mengumumkan set menu untuk menarik selera pekerja yang lapar.
Hidangan kegemaran adalah daging babi goreng, stik daging dan dada ayam, yang biasanya disajikan bersama kentang goreng dan salad sampingan.
Ikan biasanya digoreng berbanding hidangan bakar yang sering dipaparkan dalam kebanyakan buku masakan Mediterranean seluruh dunia.

Sepanyol juga menentang peningkatan masalah obesiti di kalangan rakyatnya. Kadar obesiti dewasa telah meningkat dua kali ganda dalam jangka masa 10 tahun kepada 14 peratus, manakala satu dalam tiga kanak-kanak Sepanyol obes.

Keadaan ini sama seperti yang dilihat di Itali dan Greece yang mempunyai kadar tertinggi obesiti di barat Eropah.

Peningkatan itu dikatakan disebabkan oleh pemakanan yang tidak terkawal, gaya hidup yang tidak aktif dan pengenalan makanan prapembungkusan dan gula-gula dalam diet kanak-kanak.

Pihak berkuasa Sepanyol memberikan reaksi terhadap keadaan tersebut. Kerajaan telah meminta pihak restoran untuk menyertai satu kod sukarela untuk tidak mengiklankan hidangan besar yang ia anggap akan menggalakkan pemakanan berlebihan.

Pada tahun lalu, dalam satu kes luar biasa di kawasan utara Asturias, pihak perkhidmatan sosial mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mempunyai berat 100 kilogram daripada jagaan datuk dan neneknya kerana mereka tidak mahu berhenti memberi beliau makan.

Masalah Sepanyol berhadapan dengan obesiti tidak menjejaskan kesnya agar sajian tradisinya diiktiraf di peringkat antarabangsa, kata Chef Ferran Adria yang memiliki restoran El Bulli yang telah dinamakan sebagai restoran terbaik dunia oleh Restaurant Magazine.

Beliau berkata, ia tidak menafikan bahawa kuisin Itali, Sepanyol, Greek dan Maghribi mempunyai budaya yang sama yang merupakan salah satu yang terbaik di dunia.
"Sumber obesiti kian meningkat. Memasak hidangan sihat adalah sangat mudah tetapi seseorang harus menjelaskannya kepada anda."

Basque chef Juan Mari Arzak yang restorannya di kawasan utara Sepanyol mempunyai tiga bintang Michelin juga menyatakan sokongannya terhadap usaha UNESCO itu.
Beliau merasakan pengiktirafan UNESCO boleh digunakan seperti label Designation of Origin - lambang yang diberikan di Kesatuan Eropah (EU) sejak 1992 yang memaklumkan pengguna bahawa produk telah memenuhi standard tertentu dan mengesahkan bahawa ia datang daripada kawasan yang dinyatakan.

Menteri Pertanian, Elena Espinosa berkata, kempen pemasaran untuk produk Mediterranean telah pun bermula di Sepanyol, EU dan negara-negara lain seluruh dunia.

Bercakap melalui telefon dari dapurnya sambil menyediakan hidangan tuna yang diperap dalam minyak zaitun, wain beras dan cili, Arzaj berkata : "Sekiranya ini membuktikan bahawa diet Mediterranean wajar menerima pengiktirafan UNESCO, ia akan menunjukkan bahawa masakan ini adalah lebih baik berbanding yang lain.

"Apabila anda mendapat Hadiah Nobel, ada kewajaran menerimanya." - Reuter

0 Comments: