Monday, April 28, 2008

Senarai orang kaya Britain

BEKAS ratu cantik Britain, Kirsty Bertarelli kini merupakan wanita paling kaya di Britain dengan menewaskan Ratu Elizabeth II berdasarkan anggaran yang dilakukan oleh akhbar Sunday Times semalam.

Dia berkahwin dengan seorang ahli perniagaan terkenal, Ernesto Bertarelli dan buat pertama kalinya berada dalam senarai terkaya untuk 2008 itu.

Senarai itu mengambil kira jumlah harta yang dimiliki oleh ahli keluarga.

Kirsty memenangi pertandingan ratu cantik Britain pada 1988 ketika berumur 17 tahun dan mula memperoleh kekayaan selepas berkahwin dengan Bertarelli, 43.

Bertarelli mewarisi sebuah syarikat farmaseutikal daripada bapanya dan berjaya bergelar jutawan ketika ledakan teknologi bio pada 1990-an.

Pasangan itu dilaporkan mempunyai harta berjumlah £5.65 bilion (RM35.28 bilion) dan Kirsty kini boleh membeli seberapa banyak tiara yang diingininya.

Ibu kepada bekas ratu cantik itu, berkata, anaknya itu berasal daripada keluarga kelas pertengahan yang tinggal di Staffordshir, Manchester.

"Walaupun Kristy kini bergelar bilionair tetapi dia tidak pernah berubah dan kerap pulang ke rumah untuk menjenguk ibunya," katanya.

Kirsty juga kurang dikenali di Britain dan dia juga tidak gemar mencari publisiti serta jarang bercakap di tempat awam.

Ibunya mendedahkan bahawa anaknya itu pernah dijangkiti penyakit meningitis yang boleh membawa maut tetapi berjaya sembuh dan meneruskan cita-citanya.

Pada usia 17 tahun, Kirsty mula terkenal selepas memenangi pertandingan ratu cantik Britain dan mendapat tepat ketiga dalam pertandingan ratu cantik dunia.

Sementara itu, tempat pertama senarai itu diduduki oleh seorang ahli perniagaan besi dari India, Lakshmi Mittal dan keluarganya.

Beliau yang menduduki tempat pertama selama empat tahun berturut-turut itu dilaporkan memiliki harta bernilai £27.7 bilion (RM173 bilion).

Tempat kedua diduduki oleh usahawan minyak Rusia, Roman Abramovich yang juga pemilik kelab bola sepak Chelsea di Britain dengan kekayaan berjumlah £11.7 bilion (RM73.1 bilion).

Pemilik hartanah terkenal, Duke of Westminster pula menduduki tempat ketiga dengan harta £7 bilion (RM43.71 bilion) diikuti oleh dua adik beradik, Sri dan Gopi Hinduja yang mempunyai harta berjumlah £6.2 bilion (RM38.72 bilion).

Ratu Elizabeth II pula berada di tangga ke-264 dengan harta bernilai £320 juta (RM1.99 bilion) dan harta dua cucunya, Putera William serta Putera Harry bernilai £35 juta (RM218.58 juta).

Kekayaan penulis siri novel Harry Potter, J. K. Rowling meningkat sebanyak £15 juta (RM93.68) kepada £560 juta (RM3.49 bilion).

Hero filem ahli sihir remaja tersebut, Daniel Radcliffe mempunyai harta bernilai £20 juta (RM124.9 juta) walaupun masih berumur 18 tahun.

Harta pemain bola sepak terkenal, David Beckham dan isterinya, Victoria juga meningkat sebanyak £13 juta (RM81.19 juta) kepada £125 juta (RM780.67 juta).

Seorang lagi pemain bola sepak terkenal, Michael Owen pula menjadi pemain bola sepak terkaya di Britain dengan harta bernilai £41 juta (RM256 juta).

Kekayaan bekas anggota kumpulan The Beatle, Paul McCartney pula merosot daripada £725 juta (RM4.53 bilion) kepada £500 juta (RM3.12 bilion) selepas dia bercerai dengan isterinya, Heather Mills.

Antara selebriti terkenal yang termasuk dalam senarai itu ialah penyanyi popular, Madonna dan suaminya, Guy Ritchie yang memiliki harta berjumlah £300 juta (RM1.87 bilion).

Tempat kelima senarai itu diduduki usahawan besi dan perlombongan dengan harta berjumlah £5.72 bilion (RM35.72 bilion) dan diikuti oleh Ernesto Bertarelli dan isterinya Kristy.

Usahawan pembungkusan, Hans Rausing dan keluarganya berada di tempat ketujuh dengan kekayaan bernilai £5.4 bilion (RM33.72 bilion) diikuti oleh usahawan perkapalan, John Fredriksen di tangga kelapan dengan harta berjumlah £4.65 bilion (RM29 bilion)

Seorang lagi ahli perniagaan peruncitan, Philip Green dan isterinya berada di tempat kesembilan dengan harta bernilai £4.33 bilion (RM27.04 bilion).

Dua adik beradik David dan Simon Reuben yang merupakan usahawan hartanah berada di tangga 10 dengan harta bernilai £4.3 bilion (RM26.85 bilion). - Agensi

0 Comments: