Monday, May 26, 2008

Mudarat merokok


Merokok membahayakan kesihatan. Walaupun amaran sedemikian bukan lagi baru bagi golongan perokok, mungkin huraian maklumat ini boleh menjelaskannya.

RAMAI perokok menyedari keburukan daripada tabiat mereka tetapi tidak berbuat apa-apa untuk berhenti.

ADAKAH masih ramai perokok yang menyangkal kebenaran betapa tabiat mereka itu mendatangkan kemudaratan pada mereka satu hari nanti? Atau ada yang berkata; 'Saya merokok secara sosial sahaja' atau 'oh, memang saya merokok tetapi saya sering bersenam'. Mungkin itu antara alasan mereka yang masih ego.

Dalam sedar, golongan ini sebenarnya cuba menafikan tentang 'resipi' tembakau yang sebenarnya penuh dengan kandungan yang menjejas kesihatan dan menyebabkan ketagihan. Sedangkan sudah banyak bukti saintifik menunjukkan bahawa tabiat merokok mengganggu kualiti hidup sepanjang hayat.

Juga bukan janggal apabila ia dikaitkan dengan kematian dan gangguan keupayaan sistem dan fungsi tubuh.

"Sama ada seseorang itu merokok secara sosial atau tidak, dia tetap dikategorikan di bawah Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (IDC). Maka jelas, merokok adalah suatu ketagihan, dan ketagihan adalah penyakit," kata Ketua Jabatan Pengamal Farmasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Profesor Madya Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamed.

Lanjutan daripada ketagihan itu, tabiat merokok meningkatkan risiko barah yang pelbagai, terutamanya kanser paru-paru. Lebih dikhuatiri adalah risiko penyakit jantung, strok, emfisema (udara dalam tisu) dan beberapa lagi penyakit. Ada sesetengahnya menjadi titik awal ancaman kematian bagi perokok tersebut.

Malang bagi golongan wanita, mereka berhadapan dengan beberapa lagi risiko kesihatan. Sebagai contoh, merokok ketika hamil memberi masalah kepada si ibu dan kepada anak yang dikandung. Malah, kesan buruk itu boleh kekal pada anak itu sesudah ia dilahirkan.

Tabiat buruk itu juga menggandakan kemungkinan wanita tersebut mengalami keguguran spontan, menjejas membran dan plasenta, serta kelahiran pramatang.

Lebih menyedihkan, terdapat banyak masalah seperti ini dilaporkan hanya kerana si ibu itu menjadi perokok pasif. Bukan kerana dirinya tidak ambil peduli tentang bahaya rokok, sebaliknya si suami atau orang di sekelilingnya tidak memberi ruang nafas yang bersih dan selamat untuknya.

Timbalan Pengarah Kesihatan di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Sallehudin Abu Bakar, pula menyampaikan rasa bimbangnya terhadap generasi muda masa kini yang semakin mudah tertarik pada tabiat ini.

"Ramai golongan muda (yang masih di bangku sekolah) sudah tahu merokok dan secara purata menghisap kira-kira lima batang rokok sehari. Bilangan dan kekerapan itu semakin berkembang mengikut tempoh masa tertentu. Bagi mengatasi keadaan ini, hanya program pendidikan dan kesedaran boleh dilakukan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Dalam sebuah statistik terkini, Sallehudin menjelaskan bahawa daripada jumlah pesakit yang mengalami gangguan kesihatan akibat tabiat merokok di negara ini, sebanyak 25 peratus daripada mereka menghidap barah paru-paru, 25 peratus menghidap penyakit jantung koronari, strok (20 peratus), COPD (15 peratus) dan selebihnya penyakit-penyakit lain.

Walaupun sudah jelas perangkaan itu menunjukkan ancaman, namun kes kematian yang mempunyai kaitan dengan tabiat merokok tidak pernah susut dan ia melibatkan kos rawatan yang tinggi.

"Percayalah, masih ada banyak jalan dan kaedah untuk berhenti. Di negara ini, banyak pihak boleh dirujuk untuk tujuan tersebut. Seseorang perokok perlu menanam tekad yang sebenar-benarnya demi masa depan diri dan keluarga mereka," kata Sallehudin optimis.

KEMPEN iklan yang mengesyorkan merokok sebagai gaya hidup adalah antara punca generasi baru perokok semakin bertambah.

Melihat senario yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini, mungkin kita boleh berfikir sendiri. Yang manakah perlu dipergiatkan - mengumpulkan lebih ramai perokok dewasa yang nekad untuk berhenti, ataupun meneruskan usaha mengekang tabiat merokok di peringkat awal usia?

Bukan sekadar vitamin



Nutrisi yang terdapat dalam buah betik menawarkan riboflavin dan bertindak sebagai antioksida.

BUAH berwarna kuning jingga ketika masak ranum ini sememangnya menjadi pencuci mulut popular kebanyakan rakyat Malaysia. Harganya juga murah. Betik yang menjadi penghias meja makan dengan ukiran menarik menjadi santapan di rumah bahkan di hotel-hotel bertaraf lima bintang.

Walaupun betik atau kerap juga dipanggil papaya berasal dari Mexico tetapi ia cukup popular di Asia.

Berapa ramai di antara kita yang mengambil tahu apakah nutrisi di sebalik sepotong buah berwarna jingga ini? Ramai yang hanya sekadar tahu betik sebagai pencuci, hakikatnya buah ini juga kaya dengan vitamin yang bagus untuk kesihatan.

Di sebalik kemanisan buah ini, ia menawarkan lebih daripada sekadar vitamin. Buah dengan nama saintifiknya Carica papaya menurut fakta nutrisi, mempunyai kandungan vitamin C dua kali ganda daripada oren. Di samping kelebihan vitamin C, betik juga menawarkan kandungan vitamin A, B1 dan E.

Selain beberapa kumpulan vitamin, betik juga kaya dengan sumber nutrisi kalsium, zat besi, serat, magnesium, fosfurus dan asid amino. Sumber nutrisi ini menyebabkan betik menawarkan sumber riboflavin dan bertindak sebagai antioksida yang baik.

Pelindung penyakit jantung

Betik dikatakan membantu menghalang ateroskelrosis dan penyakit jantung. Unggul dengan sumber vitamin C, vitamin A dan vitamin E, kombinasi sumber vitamin ini dikatakan cukup baik sebagai antioksida.

Sumber nutrisi bertindak dengan baik bagi mencegah pengoksidaan kolesterol. Apabila kolesterol dioksidakan ia akan melekat pada dinding saluran darah dan membentuk plak yang berbahaya kerana mendorong penyakit jantung.

Salah satu cara untuk menghalang risiko tinggi pembentukan plak ialah dengan mengambil sumber makanan yang kaya dengan vitamin E dan C.

Selain itu, betik juga adalah sumber yang baik dengan serat yang dikatakan dapat merendahkan kadar kolesterol.

Pencernaan

Betik juga telah membuktikan dalam dunia perubatan bahawa ia antara penawar yang baik bagi masalah pencernaan. Betik mengandungi enzim proteolytic yang penting dalam pencernaan makanan. Bahan yang mempunyai enzim dalam buah betik ini dikenali sebagai papain.

Papain membantu sistem pencernaan dengan memecahkan makanan yang tinggi dengan sumber protein. Malah dalam dunia perubatan, papain sememangnya diproses untuk menjadi ubat bagi dipreskripsikan kepada pesakit yang mempunyai masalah pankreas dan fibrosis.

Bagaimanapun, pakar pemakanan mengakui cara terbaik untuk mendapatkan vitamin, bukan sahaja betik bahkan semua jenis buah-buahan lain ialah dengan menikmati buah itu secara semula jadi bukannya daripada dos tablet.

Tingkatkan imun

Vitamin C dan vitamin A, kedua-duanya diperlukan tubuh untuk menyokong sistem imun tubuh. Dengan beta karotin yang terkandung dalam betik ia menambahkan lagi fungsi positif betik bagi menjauhkan tubuh daripada serangan selesema, demam dan jangkitan penyakit.

Rendahkan kemerosotan makula

Ibu sentiasa mengingatkan kita semasa kecil, 'makan lobak merah kerana ia baik untuk daya penglihatan'. Tetapi nampaknya semakin kita dewasa, rakan baik untuk mata nampaknya perlu berubah kepada buah-buahan termasuklah betik.

Dalam satu data yang disiarkan Archives of Ophtamology menyatakan menikmati tiga hidangan buah-buahan sehari merendahkan risiko kemerosotan makula.

Kemerosotan makula menyumbangkan kepada 36 peratus penyebab utama kehilangan daya penglihatan di kalangan warga emas.

Spirulina dan kawalan berat badan

SAYA kini sedang berusaha untuk mengurangkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan makanan dan cuba untuk bersenam setiap hari. Masalahnya, saya tidak dapat membuat senaman seperti yang disarankan kerana cepat letih. Adakalanya, saya juga tidak bermaya untuk menyelesaikan tugas harian di pejabat. Adakah suplemen yang sesuai untuk masalah saya dan untuk pengetahuan tuan, saya kini berusia 36 tahun.

JAWAPAN:

Dalam keadaan ini, anda perlu memilih makanan yang berprotein, rendah lemak serta kaya dengan nutrien untuk kesihatan tubuh. Antara suplemen yang didapati sesuai untuk masalah anda adalah Spirulina organik. Ini kerana Spirulina kaya dengan protein, iaitu melebihi enam puluh peratus berbanding sekitar 34 peratus dalam kacang soya dan 12 peratus telur. Protein ini penting untuk bekalan tenaga dan meringankan keletihan. Sekiranya dibandingkan dengan protein haiwan, Spirulina lebih rendah lemak dan kalori, serta tanpa kolesterol.

Spirulina juga mengandungi mineral dalam bentuk organik yang senang untuk dihadam dan diserap oleh tubuh. Ini menjadikan Spirulina sebagai suplemen zat besi dalam bentuk semula jadi yang sangat sesuai untuk wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Beta karotena yang juga dikenali sebagai pro vitamin A merupakan nutrien yang mempunyai aktiviti anti radikal bebas. Kandungan beta karotena dalam Spirulina juga didapati jauh lebih tinggi berbanding lobak merah. Selain itu, Spirulina juga kaya dengan vitamin B kompleks yang penting dalam proses penghasilan tenaga dan fungsi saraf.

Spirulina kaya dengan klorofil yang terkenal kerana fungsinya sebagai agen pembersih dan turut membantu proses detoksifikasi yang juga ideal untuk mereka yang ingin mengawal berat badan. Begitu juga dengan pigmen tumbuhan lain seperti fikosianin dan karotenoid yang membantu dalam menguatkan fungsi imun. Anda juga boleh mengambil lesitin sebagai suplemen tambahan harian kerana ia boleh membantu pemecahan lemak.

Pilihan semula jadi masalah sembelit

Saya kerap mengalami sembelit. Untuk mengurangkan sembelit, saya kerap menggunakan laksatif (julap). Namun, seorang rakan menasihati saya agar menghentikan pengambilan laksatif kerana ia akan memberi kesan yang boleh memudaratkan dalam jangka panjang dan menyarankan agar saya menggunakan alternatif lain. Apakah alternatif yang saya ada untuk masalah ini?

JAWAPAN:

Adalah penting untuk mengenali penyebab-penyebab sembelit agar anda mampu menanganinya dengan lebih berkesan. Antara penyebab yang dikenalpasti termasuklah kurang pengambilan serat, pengambilan karbohidrat ringkas yang tinggi serta kurang minum air. Gaya hidup yang tidak aktif atau kurang senaman, serta penggunaan bahan laksatif yang keterlaluan juga turut memburukkan masalah sedia ada. Namun begitu, tidak dapat dinafikan masalah kesihatan juga memainkan peranan ke arah sembelit.

Bagi mereka yang mengalami sembelit, pengambilan probiotik seharusnya dijadikan suplemen harian. Probiotik merupakan bakteria bermanfaat yang memainkan peranan dalam mencegah pertumbuhan mikroorganisma yang tidak diingini seperti yis kandida dan pelbagai bakteria yang menyebabkan penyakit. Probiotik juga membantu mengekalkan flora usus yang sihat untuk proses penghadaman yang baik dan juga asimilasi makanan.

Probiotik Lactobacillus acidophilus NCFM merupakan strain yang dikaji lebih daripada 30 tahun dan terbukti secara klinikal dalam memperbaiki masalah penghadaman dan menangani simptom- simptom yang timbul akibat ketidaksempurnaan sistem penghadaman seperti sembelit. Malah, pengambilan secara berterusan dalam jangka panjang turut memberi manfaat dalam menguatkan sistem imuniti badan.

Memandangkan masalah sembelit lazimnya berkait rapat dengan cara pemakanan, maka perubahan diet adalah perlu. Tingkatkan pengambilan makanan berserat tinggi seperti sayuran berdaun hijau, betik, buah prun dan sebagainya. Minum air sekitar lapan gelas sehari, di mana dua gelas dicadangkan untuk diambil setiap kali selepas setiap hidangan berserat. Tingkatkan aktiviti fizikal seperti senaman juga dapat membantu. Makanan yang tinggi dengan gula dan lemak pula mungkin akan memperlahankan penyingkiran bahan kumuh.

Ketagihan masalah utama

HARI Tanpa Tembakau Sedunia 2008 akan disambut untuk julung kalinya pada 31 Mei ini (Sabtu). Bagaimanapun, di manakah kita dalam usaha memerangi rokok dan produk tembakau kini?

Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr. Zarihah Mohd. Zain menjelaskan maklumat terkini menunjukkan Malaysia kini mempunyai kira-kira 2.73 juta perokok.

“Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus) dan 120,000 perokok wanita (4.4 peratus).

“Bilangan perokok juga lebih tinggi di bandar yang berjumlah 1.56 juta (57.1 peratus) sementara 1.17 juta perokok lagi dari kawasan luar bandar (42.9 peratus),” ujarnya.

Menurut Dr. Zarihah, kaum Melayu merupakan perokok paling ramai, berjumlah 1.66 juta (60.9 peratus) sementara kaum India paling sedikit dengan jumlah 150,000 perokok sahaja (5.5 peratus).

Namun, tahukah anda bahawa seorang perokok baru boleh mati jika menghisap lebih 40 batang rokok dalam masa satu hari?

Ahli Pengasas Persatuan Penyelidikan Nikotina dan Tembakau (SRNT), Profesor Dr. Karl Olov Fagerstrom menjelaskan otak perokok baru boleh ‘memberontak’ jika menerima terlalu banyak nikotina sebelum dapat menyesuaikan diri (adaptasi).

“Perokok ‘veteran’ dapat merokok sehingga lebih 40 batang rokok dalam satu hari kerana otak mereka telah menyesuaikan diri dengan jumlah nikotina yang banyak.

“Bagaimanapun, otak perokok veteran juga akan memberontak jika mereka berhenti merokok memandangkan otak perokok telah membentuk pergantungan terhadap jumlah nikotina yang tinggi,” katanya.

Menurut beliau, perokok memerlukan keazaman yang kuat untuk berhenti merokok jika telah membentuk pergantungan nikotina yang kuat.

Dr. Fagerstrom turut menjelaskan WHO menamakan tabiat merokok sebagai faktor utama punca penyakit boleh dicegah.

“Tembakau menjadi punca penyakit seperti kanser, penyakit vaskular serta masalah sistem pernafasan seperti bronkitis kronik dan penyakit paru-paru.

“Mengikut Klasifikasi Penyakit Antarabangsa, pergantungan kepada tembakau dikelaskan sebagai sejenis penyakit, sama seperti pergantungan kepada alkohol,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan seorang perokok, yang telah merokok seumur hidupnya, meninggal dunia setiap saat akibat penyakit berkaitan tembakau.

Penilaian pergantungan nikotina

Antara yang paling memeranjatkan Dr. Fagerstrom bila tiba di Malaysia adalah melihat ramai wanita (tempatan) yang merokok secara terbuka.

“Saya terperanjat melihatkan ramai wanita yang merokok di sebuah hotel tempatan tempat saya menginap baru-baru ini.

“Mungkin bagi sesetengah pihak yang mempunyai pandangan kuat dalam isu merokok (anti merokok), perokok dilihat sebagai golongan kelas bawahan. Namun, mereka adalah pesakit yang perlu dibantu mengatasi pergantungan terhadap nikotina,” jelasnya.

Melihatkan masalah pergantungan nikotina kurang dibangunkan secara amalan klinikal, beliau mengasaskan Ujian Pergantungan Kepada Nikotina Fagerstrom. Melalui enam soalan mudah, perokok dapat menentukan tahap pergantungan mereka terhadap nikotina.

Rasa terdesak untuk merokok pada waktu pagi selepas bangun dari tidur dan bilangan rokok yang dihisap dalam satu hari menjadi antara penanda aras utama pergantungan terhadap nikotina.

Dr. Fagerstrom menyatakan perokok sendiri setuju pergantungan nikotina merupakan satu masalah tetapi memilih untuk cuma menganggapnya sebagai satu tabiat buruk semata-mata.

“Nikotina memenuhi kriteria pergantungan (ketagihan) kepada sejenis dadah, dengan 50 hingga 60 peratus perokok diklasifikasikan mempunyai pergantungan nikotina.

“Pergantungan ini menyebabkan badan perokok perlu mendapatkan nikotina dalam jumlah tertentu selepas bangun tidur (dan secara berpanjangan) kerana nikotina digunakan dengan pantas (sekitar dua jam) oleh badan,” ujarnya.

Menurut Dr. Fagerstrom, rokok rendah nikotina akan menyebabkan perokok memerlukan lebih banyak rokok, sedutan yang lebih dalam serta lebih lama di dalam paru-paru bagi mendapatkan jumlah nikotina yang diperlukan otak.

“Perokok juga ditipu dengan dakwaan rokok tertentu kurang bahaya dan kurang tar sedangkan risiko mereka mendapat penyakit seperti kanser tetap sama.

“Penapis rokok yang didakwa kurang tar ditebuk supaya rokok dicairkan oleh udara. Namun, perokok dengan tidak sengaja akan menutup lubang tersebut ketika merokok, menyebabkan jumlah tar yang disedut tetap sama,” katanya.

Ingin berhenti

Nikotina tidak berbahaya tetapi membentuk pergantungan seperti yang berlaku kepada mereka yang gemar minum kopi atau teh (kafein). Namun, pergantungan ini menyebabkan perokok terus menyedut bahan kimia berbahaya di dalam tembakau.

Tabiat psikologi perokok juga akan memainkan peranan dalam usaha mereka berhenti merokok. Ubat tertentu boleh membantu tetapi bukannya penyembuh ajaib.

Menurut Dr. Fagerstrom, usaha berhenti merokok turut bergantung kepada persekitaran dan masyarakat.

“Jika semua orang merokok (seperti dalam penjara) atau sering melihat rakan atau iklan rokok, pasti lebih sukar untuk berhenti.

“Masyarakat perlu menjadi lebih negatif terhadap rokok dan produk tembakau sementara mereka yang tidak merokok perlu berani meminta perokok untuk tidak merokok di tempat awam,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan individu yang tidak merokok juga mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi menghidap kanser paru-paru jika pasangan mereka merokok.

Perokok yang merokok sebagai satu tabiat dan bukan kerana pergantungan pula dilihat lebih sukar berhenti merokok terutamanya jika persekitaran dipenuhi perokok lain atau iklan rokok. Perokok boleh cuba berhenti secara mendadak (cold turkey - kulit seperti kulit ayam dicabut bulu), tetapi 95 peratus yang mencuba kaedah ini akan gagal jika tidak mendapatkan bantuan dan sokongan.

Perokok itu pesakit

Perokok adalah pesakit saya! Itulah tanggapan Dr. Fagerstrom terhadap perokok yang ingin berhenti merokok.

“Orang ramai mungkin tertanya-tanya mengapa produk tembakau terus dijual jika ia mengambil satu nyawa setiap saat.

“Nikotina adalah sejenis dadah dan pergantungan terhadapnya serupa dengan ketagihan dadah. Kita sepatutnya membantu mereka,” jelasnya.

Menurut beliau otak sesetengah individu juga berfungsi lebih baik dengan adanya nikotina. AS menjadi contoh jelas di mana lima peratus doktor di sana merokok sedangkan banyak tekanan diberikan supaya penduduk negara itu berhenti merokok.

Apa yang sepatutnya kita dilakukan adalah membantu perokok berhenti merokok dan menyedarkan mereka merokok itu bukan hanya mencemar persekitaran tetapi juga badan mereka sendiri.

Sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Sabtu ini, mungkin perokok dapat memainkan peranan dengan mengurangkan atau tidak merokok, walaupun cuma untuk satu hari. Bagi mereka yang tidak merokok, jadikanlah hari tersebut untuk meminta kenalan dan orang tersayang mengurangkan atau tidak menggunakan produk tembakau. Elakkan rokok, dan mungkin saat berikutnya tidak meragut nyawa anda.

Sumbangan rokok kepada dunia

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan penggunaan tembakau mungkin menyebabkan lebih satu bilion kematian sepanjang abad ini, dengan China dan India masing-masing menganggarkan hampir satu juta rakyat mereka maut akibat tembakau setiap tahun. Abad ke-20 telah mencatatkan 100 juta kematian akibat tembakau dan dijangka meningkat 10 kali ganda abad ini jika tindakan berkesan tidak diambil dengan segera.

Mengikut jangkaan WHO, kematian berkaitan tembakau mungkin meningkat kepada lapan juta orang setiap tahun menjelang 2030, 80 peratus daripadanya di negara membangun. Satu laporan WHO juga mengenalpasti peningkatan bilangan perokok kini paling banyak berlaku di negara berpendapatan rendah yang dikaitkan dengan peningkatan bilangan penduduk.

Di India, hasil penyelidikan yang menunjukkan satu daripada 10 kematian di negara itu akan berpunca daripada penggunaan tembakau menjelang 2010. Kumpulan penyelidikan berkenaan menjelaskan perokok bukan sahaja akan maut akibat kanser dan masalah paru-paru malahan juga akibat tuberkulosis (tibi) dan penyakit jantung.

Antara kaedah yang telah disarankan untuk mengawal tabiat merokok termasuk polisi mencegah (daripada mula merokok), melindungi orang ramai daripada asap rokok (perokok pasif), menawarkan bantuan untuk perokok berhenti merokok dan penguatkuasaan terhadap larangan iklan rokok serta meningkatkan cukai terhadap rokok. Kos penggunaan tembakau di seluruh dunia pula dikatakan mencecah beratus bilion dollar setiap tahun dengan AS sahaja mencatatkan anggaran kerugian ekonomi AS$92 bilion (RM295.14 bilion) setiap tahun.

WHO baru-baru ini turut mengumumkan rancangan untuk satu perjanjian antarabangsa baru dalam menentang perdagangan tembakau secara haram menjelang 2010. Perdagangan tembakau secara haram dianggarkan merangkumi 10 peratus jualan tahunan tembakau dunia yang menyebabkan kerugian antara AS$40 hingga AS$50 bilion (RM128.33 hingga RM160.40 bilion) setiap tahun. Tindakan terhadap perdagangan haram tembakau dilihat amat penting bagi melindungi generasi muda daripada mula dan ketagih merokok berikutan harga rokok seludup yang jauh lebih murah.

Thursday, May 08, 2008

Kalori